Sebanyak 600 pelekat keselamatan un­tuk pe­nunggang motosikal diedar­kan pada Kempen Advokasi Kese­lamatan Jalan Raya peringkat dae­rah yang berlangsung di Dataran Tras, di sini baru-baru ini. Kempen dengan kerjasama syarikat insurans, Allianz Malaysia dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) itu turut mengedarkan 50 topi keledar kepada penunggang motosikal terpilih. Pengurus Allianz Malaysia Temerloh, Nazaruddin Ab. Majid ber­kata, kempen terbaharu ini sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya untuk memberi kesedaran keselamatan jalan raya terutama kepada penunggang motosikal. "Pengedaran 600 pelekat reflektif ini diharapkan dapat membantu meningkatkan tahap keselamatan penunggang motosikal terutama pada waktu malam. "Selain itu, 50 penunggang motosikal yang menggunakan topi keledar tidak selamat sama ada lama atau tidak diluluskan pihak berkuasa juga menerima topi keledar baharu," katanya dalam kenyataan di sini, baru-baru ini. Menurut Nazaruddin, dalam kempen berkenaan, 20 buah kerusi khas untuk keselamatan kanak-kanak di dalam kereta turut diedarkan."Di samping itu, 10 pengguna kenderaan bermotor pertama tiba di kempen itu turut diberikan pelan 'Enhanced Road Warrior' selama setahun secara percuma, produk yang menggabungkan bantuan termasuk menunda sehingga 600 kilometer sekiranya berlaku kerosakan kende­raan dan juga perlindungan insurans. "Keselamatan adalah keutamaan dan kami percaya adalah penting untuk mendidik orang ramai me­ngenai keselamatan jalan raya dan memainkan peranan dalam mewujudkan kesedaran terhadap kese­lamatan," jelasnya. Katanya, Allianz Malaysia seca­ra aktif telah mempromosikan ke­selamatan jalan raya melalui kerjasama dengan pihak JKJR dan sebanyak 88 kempen advokasi telah diadakan di seluruh negara de­ngan 400 kakitangan Allianz terlibat da­lam kempen ini.