Perdana Menteri Malaysia ialah pemimpin utama Kerajaan Malaysia. Seorang Perdana Menteri juga bertanggungjawab untuk mengetuai barisan Badan Eksekutif, Jemaah Menteri. Secara rasmi dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai selaku Ketua Negara dan biasanya pemimpin sesebuah parti politik atau parti komponen terkuat dalam Parlimen (Dewan Rakyat) akan dipilih dan dilantik dan perlu mendapat sokongan majoriti daripada para Ahli Dewan Rakyat Malaysia. Beliau juga merupakan Ketua Majlis bagi Parlimen Malaysia yang menentukan permulaan sebuah penggal dan persidangan di Parlimen. Seseorang yang dilantik sebagai Perdana Menteri mestilah dari kalangan Ahli Dewan Rakyat Malaysia. Ahli Dewan Negara Malaysia tidak layak untuk dilantik ke jawatan tersebut.

Seorang Perdana Menteri dilantik dari kalangan Ahli Dewan Rakyat Malaysia. Ahli Dewan Negara Malaysia tidak layak untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Mengikut kelaziman, seorang presiden parti yang mempengerusikan sebuah parti politik gabungan yang memenangi majoriti kerusi dalam pilihan raya umum akan dicalonkan oleh Ahli Dewan Rakyat Malaysia untuk Yang di-Pertuan Agong memperkenankan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Namun, dalam situasi di mana tiada parti yang memenangi kerusi majoriti, para Ahli Dewan Rakyat perlu mencalonkan beberapa nama untuk dipilih oleh majoriti ahli dewan. Yang di-Pertuan Agong seterusnya akan memperkenankan pelantikan seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda memiliki sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Seorang Perdana Menteri mempunyai hak prerogatif untuk mencalonkan seorang Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Negara bagi menganggotai Jemaah Menteri yang dibentuk. Beliau akan mempersembahkan senarai nama Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan baginda untuk dilantik sebagai anggota pentadbiran kerajaan.

Beliau juga berperanan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen, khususnya Dewan Rakyat untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum. Memanggil atau menangguhkan sidang Parlimen juga di bawah kuasa Perdana Menteri. Begitu juga dengan pengisytiharan darurat.

Selain daripada itu, beliau juga berperanan untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong dalam melantik 44 daripada 70 orang Senator dari kalangan Ahli Dewan Negara.

Pelantikan hakim mahkamah atasan (Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan) juga dibuat atas nasihat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang mana beliau akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong.

Peguam Negara Malaysia dan Ketua Audit Negara Malaysia juga dilantik atas nasihat seorang Perdana Menteri.

Pelantikan Pengerusi dan Ahli Suruhanjaya bagi Suruhanjaya Kehakiman dan Perundangan, Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Pasukan Polis, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan, Majlis Kewangan Negara dan Majlis Angkatan Tentera.

Yang di-Pertua Negeri juga dilantik atas nasihat seorang Perdana Menteri.