1. Menurunkan Berat Badan

Berat yang berlebihan biasanya dikaitkan dengan masalah kolesterol yang tinggi. Menurunkan berat badan boleh menurunkan tahap kolesterol anda kerana ia boleh mengurangkan jumlah lemak yang ada dalam badan anda.

Anda boleh mula mengambil tindakan dengan melakukan perubahan-perubahan yang kecil seperti mengambil makanan rendah kalori, kurangkan pengambilan makanan dan minuman manis, mengawal kuantiti makanan yang diambil dan sebagainya. Kurangkan juga pengambilan makanan kolesterol tinggi seperti daging, telur, produk tenusu dan makanan proses.

Individu yang kehilangan sekurang-kurangnya 10 paun atau 4.5 kg sudah cukup untuk menurunkan tahap kolesterolnya. Pengurangan sekurang-kurangnya 5 peratus daripada berat badan mereka dapat mengurangkan tahap LDL dan jumlah kolesterol dalam badan.

  1. Berhenti Merokok

Tabiat merokok boleh menjejaskan tahap kolesterol dalam badan anda. Anda akan menjadi lebih sihat jika anda berhenti merokok sekali gus membantu menurunkan tahap kolesterol anda.

  1. Dalam masa 20 minit selepas berhenti merokok, tekanan darah dan degupan jantung anda bertambah baik
  2. Dalam masa tiga bulan selepas berhenti merokok, peredaran darah dan fungsi paru-paru anda mula bertambah baik
  3. Dalam tempoh setahun selepas berhenti merokok, peratus risiko penyakit jantung anda separuh lebih rendah berbanding sekiranya anda merokok
  1. Bersenam & Gaya Hidup Aktif

Gaya hidup aktif juga boleh membantu menurunkan paras kolesterol anda. Bersenam di rumah misalnya boleh membantu meningkatkan HDL yang merupakan kolesterol baik. Bergantung pada nasihat doktor anda, lakukan senaman ringan selama 30 minit sekurang-kurangnya lima kali seminggu atau aktiviti aerobik yang lebih mencabar selama 20 minit sebanyak tiga kali seminggu. Pertimbangkan aktiviti-aktiviti seperti:

  1. Berjalan pantas (brisk walk)
  2. Berbasikal
  3. Senamrobik
  4. Diet Pemakanan

Melakukan beberapa perubahan dalam diet anda juga boleh membantu mengurangkan kolesterol dan dalam masa yang sama meningkatkan kesihatan jantung. Bagaimana cara untuk menurunkan kolesterol dengan diet? Ikuti langkah-langkah di bawah ini:

Elakkan Makanan dengan Lemak Trans

Lemak trans akan meningkatkan tahap kolesterol keseluruhan. Elakkan makanan seperti marjerin, kentang goreng dan kebanyakan snek kerana makanan sebegini mempunyai asid lemak trans yang tinggi. 

Kurangkan Pengambilan Makanan Lemak Tepu

Lemak tepu paling tinggi datang daripada haiwan dan makanan berasaskan haiwan seperti mentega, susu penuh krim, keju, mayonis, lemak daging dan sebagainya. Pengambilan secara berlebihan akan meningkatkan kadar kolesterol anda.Pengambilan lemak tepu secara bersederhana boleh mengurangkan kadar LDL atau kolesterol jahat.

Perbanyakkan Pengambilan Makanan Tinggi Serat, Serat Larut

Serat larut mampu mengurangkan serapan kolesterol di dalam aliran darah anda. Serat larut boleh didapati daripada makanan seperti oat dan kekacang serta buah-buahan seperti epal dan pir. 

  1. Makan Ubat, Suplemen Jika Perlu

Jika doktor anda mengesyorkan ubat atau suplemen untuk membantu menurunkan kolesterol anda, ambil seperti yang ditetapkan sambil menjalankan gaya hidup baharu yang lebih aktif. Perubahan gaya hidup boleh membantu anda mengekalkan pengambilan dos ubat yang rendah.

Diet dan aktiviti fizikal yang sihat boleh membantu ramai orang mencapai tahap kolesterol yang sihat, tetapi sesetengah pesakit mungkin memerlukan ubat untuk menurunkan kolesterol mereka.