Kanser Esofagus

Esofagus adalah satu tiub panjang yang berfungsi menyalurkan makanan dari tekak ke perut. Kanser esofagus terjadi apabila terdapat ketumbuhan malignant yang tumbuh dari dinding esofagus.

Semakin ketumbuhan membesar, ia boleh merebak ke otot dan tisu di sekitar esofagus. Ketumbuhan boleh tumbuh di sepanjang saluran esofagus termasuklah di kawasan esofagus bertemu dengan perut.

Jenis jenis kanser esofagus

  • Squamous cell carcinoma. Ia bermula daripada sel squamous yang melitupi dinding esofagus. Ia kerap terjadi di bahagian atas dan tengah esofagus, tetapi boleh juga terjadi di tempat lain.
  • Adenocarcinoma. Ia bermula daripada sel yang menghasilkan mukus di dinding esofagus. Ia kerap terjadi di bahagian bawah esofagus.

Punca kanser esofagus

Seperti kebanyakan kanser, punca kanser esofagus masih tidak diketahui. Ia dipercayai mempunyai kaitan dengan mutasi dalam DNA sel yang berada di sekitar esofagus. Mutasi ini menyebabkan sel membiak dengan lebih pantas berbanding sel biasa.

Mutasi juga menyebabkan sel tidak mati dan menyebabkan sel berkumpul dan menjadi ketumbuhan.

Pakar berpendapat bahawa iritasi pada dinding esofagus menyumbang kepada terjadinya kanser. Terdapat beberapa habit dan keadaan yang menyebabkan iritasi, contohnya:

  • Pengambilan alkohol
  • Merokok
  • Masalah gastroesophageal reflux disease, iaitu masalah refluks makanan
  • Mempunyai esofagus Barret’s iaitu dinding esofagus yang rosak kerana masalah refluks
  • Berat badan berlebihan
  • Kurang pengambilan sayuran dan buahan
  • Mempunyai achalasia, iaitu satu keadaan dimana otot di hujung esofagus tidak berfungsi dengan sempurna