Program Empower ECER merupakan Program Modal Insan yang merangkumi Program Akademik bagi meningkatkan prestasi pelajar yang kurang cemerlang, dan Program Latihan dan Keusahawanan untuk orang dewasa bagi meningkatkan pendapatan mereka. Program inklusif ini memberi fokus kepada penduduk luar bandar termasuk ibu tunggal, orang kelainan upaya, belia dan dewasa yang berpendapatan rendah (B40). Sehingga kini, seramai 11,695 usahawan dari Kelantan, Terengganu, Pahang dan Mersing, Johor telah terlibat mengambil bahagian dan menerima manfaat daripada program ini. Berpeluang mendalami kisah-kisah penerima anugerah yang amat mengagumkan dan memberi inspirasi. Saya ingin berkongsi dengan anda kisah Iemah a/p Pendek, penerima Anugerah Khas Usahawan empower ECER bagi kategori Orang Asli. Beliau, yang berusia 48 tahun ini, berasal dari Pahang dan memiliki perniagaan butik pengantin. Kegigihan Puan Iemah untuk mengubah nasib hidup beliau dan keluarga memberi motivasi kepada beliau untuk bermotosikal selama 45 minit dari pedalaman Telemong sehingga ke bandar Bentong bagi menghadiri kursus andaman perkahwinan dan persolekan. Transformasi ini bukan sahaja kepada diri beliau, malah Puan Iemah turut membawa perubahan kepada komuniti orang Asli di Telemong. Sehingga kini, perkhidmatan beliau bukan sahaja diperlukan di Bentong bahkan sehingga ke negeri Perak, Kelantan dan Negeri Sembilan. Kisah seterusnya mengenai seorang anak muda berusia 22 tahun, Muhammad Zulhanif bin Hazman yang dahulunya pernah dikenali sebagai “Mat Rempit” dan menganggur. Namun, setelah menghadiri kursus Masakan 1 Malaysia, ia telah membakar semangat anak muda untuk membuka kedai sate beliau sendiri. Pada usia yang masih muda, penerima Anugerah Usahawan Muda empower ECER telah berjaya mengembangkan perniagaan sendiri di bawah jenama “Four Z Brothers”. Muhammad Zulhanif kini bukan lagi satu kerisauan kepada keluarga beliau malah merupakan inspirasi kepada ramai anak muda di luar sana. Dengan pendapatan mencecah RM 15,000 sebulan, sate unik dan berwarna-warni beliau mendapat permintaan tinggi di Kemaman, Terengganu. Sesungguhnya kejayaan seorang individu tidak seharusnya dihadkan kepada faktor umur semata-mata. Usaha dan kerja keras Puan Ng Tai Kah yang berusia 57 tahun telah membuktikan segala-galanya. Puan Ng Tai Kah bermula dengan perusahaan produk kerepek ketam buatan sendiri yang dijalankan secara kecil-kecilan. Beliau telah mendapat tunjuk ajar dan bimbingan oleh empower ECER untuk mengembangkan produk makanan ringan dan menguruskan perusahaan beliau dengan lebih baik. Berbekalkan keazaman untuk membantu suami yang berkerja sebagai pemandu bas, penerima Anugerah Khas Usahawan empower ECER ini meningkatkan pendapatan keluarga lebih 10 kali ganda daripada RM 300 sebulan kepada RM 3,500. Perusahaan beliau telah berkembang ke seluruh Mersing. Ketiga-tiga kisah ini merupakan sebahagian daripada kisah kejayaan hasil daripada Program empower ECER. Saya yakin inisiatif kerajaan seperti ECER ini menyediakan platform yang kukuh untuk melahirkan usahawan di negara ini. Saya berharap agar lebih ramai rakyat di luar sana mengambil peluang yang ada dengan menyertai program-program kemahiran yang ditawarkan dan menceburi bidang perniagaan yang kreatif dan berdaya saing.