Sejarah MECD bermula dengan penubuhan Kementerian Penyelarasan Perbadanan Awam (KPPA) pada tahun 1974 yang kemudiannya ditukarkan kepada Kementerian Perusahaan Awam (KPA) pada tahun 1976. KPA bertanggungjawab untuk mengawas dan menyelaras agensi-agensi perusahaan awam seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN). Penubuhan Kementerian Pembangunan Usahawan pada 8 Mei 1995 bagi menggantikan KPA bertujuan untuk memberi tumpuan dan penekanan khusus terhadap pembangunan usahawan Bumiputera untuk mempercepatkan pencapaian matlamat pewujudan sebuah Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB). Penyusunan semula kementerian sebagaimana pada 27 Mac 2004 memperlihatkan Kementerian Pembangunan Usahawan telah diberi nama baru iaitu Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dengan tambahan tanggungjawab terhadap Jabatan Pembangunan Koperasi, Maktab Kerjasama Malaysia dan Bank Kerjasama Rakyat Berhad. Selepas Mohd Najib bin Abdul Razak menjadi Perdana Menteri pada 2009, kementerian ini menjadi antara yang dihapuskan. Peranannya dibahagi-bahagikan dan diserap oleh kementerian lain.
Peranan
Peranan MECD bersama jabatan dan agensinya adalah penting untuk memperluas dan mempercepatkan penglibatan Bumiputera dalam arus utama kegiatan ekonomi negara dan seterusnya membantu mencapai sasaran pemilikan 30 peratus ekuiti Bumiputera pada tahun 2020. MECD dan agensi-agensi di bawahnya berperanan untuk merancang, menyelaras, melaksana dan memantau program-program pembangunan usahawan yang merangkumi aktiviti-aktiviti seperti di bawah
- Menggubal dasar serta merangka strategi dan program pembangunan usahawan;
- Melaksana, menyelaras dan memantau program-program pembangunan keusahawanan di peringkat Persekutuan dan Negeri;
- Mengenalpasti dan membangunkan peluang-peluang perniagaan yang berpotensi untuk disertai oleh usahawan;
- Memudahcara, membimbing serta memberi khidmat nasihat kepada usahawan dan bakal usahawan;
- Mewujudkan kerjasama dan jaringan strategik dengan agensi-agensi kerajaan, institusi penyelidikan serta pihak swasta meliputi bidang R&D, kualiti, piawaian, pengurusan, pemindahan teknologi dan pemasaran untuk membangunkan usahawan;
- Membantu pembangunan usahawan dalaman (intrapreneurship) oleh agensi-agensi di bawah MECD;
- Mengkaji semula peranan dan keberkesanan gerakan koperasi sebagai salah satu strategi pembangunan usahawan serta penjana pembangunan ekonomi negara; dan
- Merangka cadangan penubuhan SKM bagi memastikan kedudukan kewangan dan sistem operasi koperasi adalah kukuh dan selamat, memastiakan kestabilan sektor koperasi serta menggalakkan pembangunan sektor koperasi yang terancang, telus dan mapan.