Autoimun atau Lupus antara penyakit popular menyerang ramai wanita. Jangan anggap kurang kedengaran maka ia suatu yang tidak perlu dibimbangkan. Menurut laman web daripada Hospital Columbia Asia – Puchong, Dr. Muhammad Bin Shahruddin berkata penyakit autoimun berlaku akibat gangguan dalam penghasilan antibodi apabila ianya yang menyerang sel-sel badan atau organ manusia itu sendiri. Umum daripada kita faham bahawa sistem imun dan antibodi terjadi apabila mengesan kehadiran penyakit seperti contohnya bakteria, fungus dan virus dari luar. Menurut Dr Muhammad, dalam kes penyakit autoimun ini, badan kita menghasilkan antibodi yang sama namun menyerang organ dalam tubuh sendiri. Ini kerana sistem imun badan tidak dapat membezakan sel atau tisu badan sendiri dan menganggapnya sebagai sel atau tisu asing. Akibatnya, ia merosakkan fungsi organ yang diserang tadi. Kebiasaanya penyakit autoimun ini akan menyerang umur wanita yang sedang dalam jangka waktu subur iaitu berusia antara 15 hingga 45 tahun.
Terdapat juga kes wanita berusia 45 tahun dan ke atas, tetapi ia jarang berlaku. Apabila penyakit autoimun berlaku, antibodi ini akan menyerang organ tubuh badan yang tertentu dan menyebabkan:
Sendi-sendi: Sendi-sendi akan sakit dan membengkak. Contoh penyakit sendi ini adalah rheumatoid arthritis.
Systemic Lupus Erythematosus atau SLE: Paling kerap didiagnos apabila menghidap autoimun. Ia boleh mengakibatkan kesan pada lebih daripada satu organ dalam seluruh badan. Ia akan menyerang sendi tetapi tidak seteruk rheumatoid arthritis. Ia juga boleh menyerang kulit sehinggakan kulit naik ruam-ruam di muka serta keguguran rambut yang teruk. Paling bahaya apabila SLE ini menyerang buah pinggang dan ujian pengesanan yang lewat kerosakan organ berkenaan. SLE juga boleh menyebabkan serangan antibodi ke bahagian otak sekaligus menyebabkan radang otak.
Penyakit Tiroid: Penyakit tiroid lebih banyak menyerang wanita. Puncanya adalah antibodi menyerang organ tiroid. Dua jenis penyakit tiroid ini adalah Graves disease dan Hashimoto disease. Graves disease berlaku apabila hormon tiroid berlebihan manakala Hashimoto disease berlaku apabila hormon tiroid terlalu rendah. Punca-punca berlaku adalah sama tetapi rawatan yang akan dilakukan adalah berbeza.
Penyakit Psoriasis: Penyakit psoriasis juga adalah penyakit autoimun. Ini berlaku apabila antibodi badan menyerang kulit sehinggakan kulit menggelupas. Cara untuk mengesahkan penyakit psoriasis ini adalah dengan mengambil sampel dan hantar ke makmal untuk diuji. Cara rawatan adalah menurunkan sistem imum dengan rawatan tertentu oleh pakar kulit.
Immune thrombocytopenic purpura (ITP): ITP ini adalah masalah darah. Apabla berlaku, antibodi menyerang platelet dan menyebabkan bacaan bilangan platelet menjadi rendah. Ia membuatkan seseorang itu mudah lebam. Ia juga boleh menyebabkan pendarahan hidung dan pendarahan gusi. Bahaya ITP ini pada ibu mengandung adalah jika bacaan plateletnya rendah, hingga menyebabkan pendarahan. Penyakit ITP ini biasanya dirawat oleh pakar hematologi (darah).
Selain dari penyakit yang disebut di atas, banyak lagi penyakit autoimun lain yang wujud. Contohnya Celiac disease, Addison’s disease, scleroderma, Myasthenia gravis dan Type 1 Diabetes mellitus. Penyakit nombor satu menyerang wanita ini biasanya tidak mempunyai simptom jelas. Kebiasaannya bermula dengan rasa letih, lemah dan badan atau otot-otot rasa sakit. Ia kemudian disusuli dengan demam yang tidak tinggi (suhu badan 37.5 dan 37.8 Celsius). Tetapi demam ini agak lama dan berterusan lebih kurang seminggu hingga dua minggu. Dalam masa sama, sendi-sendi juga akan rasa sakit dan bengkak menyebabkan kesukaran untuk bergerak sebaik bangun tidur pada waktu pagi. Selain itu, keguguran rambut yang teruk adakalanya petanda penyakit autoimun.