Pada 30 Jun 2011, Kerajaan Pahang bersetuju melantik semula 583 ketua kampung dan pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) yang tamat tempoh perkhidmatan. Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, pelantikan tersebut diputuskan pada mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri. Perlantikan berkuatkuasa pada 31 Disember 2011. Kerajaan negeri melantik semula semua ketua kampung dan pengerusi JKKK setelah mendapat sokongan wakil rakyat yang berpuas hati terhadap tugasan dan prestasi mereka selama ini. Menurut Adnan, kerajaan negeri amat menghargai tugas dan peranan ketua kampung serta pengerusi JKKK dalam membantu melaksanakan pembangunan di kawasan masing-masing. Tugas ketua kampung penting bukan setakat menjaga kemajuan dan keselamatan kampung tetapi membantu kerajaan mencorakkan pembangunan setempat yang memberikan manfaat kepada penduduk. Sehubungan itu, Menteri Besar menasihati mereka yang dilantik semula supaya menggalas tugas dengan penuh tanggungjawab, jujur, ikhlas dan tidak memilih bulu, budaya, kaum atau fahaman politik. Ketua kampung tegasnya, memainkan peranan besar di peringkat akar umbi kerana menjadi mata dan telinga kerajaan untuk menentukan maju atau mundur sesebuah kampung serta mukim.