Sejak kemerdekaannya pada 1957, semua Perdana Menteri hanya berasal daripada parti UMNO, salah satu parti politik terbesar dalam Barisan Nasional (dahulu dikenali sebagai Parti Perikatan hingga 1974). Tetapi pada 2018, jawatan Perdana Menteri disandang oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia, salah satu parti komponen baharu dalam Pakatan Harapan apabila Tun Dr. Mahathir bin Mohamad menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-7

Kabinet Malaysia 2018 atau lebih dikenali sebagai Kabinet Mahathir Ketujuh (Mahathir VII) merupakan kabinet yang pertama dibentuk selain tanpa penyertaan Barisan Nasional (BN) setelah 61 tahun susulan kegagalan parti tersebut untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya ke-14.

Susulan krisis politik negara 2020 atau lebih dikenali sebagai Langkah Sheraton, landskap politik telah berubah secara keseluruhan. Kabinet Malaysia 2020 atau lebih dikenali sebagai Kabinet Muhyidin Pertama (Muhyiddin I), merupakan kabinet yang pertama dibentuk melalui pertukaran kerajaan tanpa melalui pilihan raya dan mandat. Kabinet ini juga mempunyai kapasiti yang terbesar dalam sejarah iaitu sebanyak 70 Menteri dan Timbalan Menteri.

Pada tahun 2021, Kabinet Muhyiddin Pertama (Muhyiddin I) telah dibubarkan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin kehilangan majoriti dari barisan kepemimpinan Barisan Nasional yang dipimpin oleh Ahmad Zahid Hamidi menyebabkan wujudnya sekali lagi kabinet yang dibentuk melalui pertukaran kerajaan tanpa pilihan raya dan mandat rakyat. Kabinet tersebut dikenali sebagai Kabinet Ismail Sabri Pertama (Ismail Sabri I). Kabinet tersebut tercatat sebagai kabinet kedua di Malaysia yang wujud tanpa melalui pilihan raya dan mandat rakyat.