Hari Raya Aidilfitri disambut pada 1 Syawal tahun Hijrah. Perayaan tersebut juga dikenali sebagai Hari Raya Puasa, Hari Raya Fitrah, dan Hari Lebaran. Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia tidak kira bangsa sama ada Melayu,India-Muslim dan lain-lain bangsa di seluruh dunia yang beragama Islam bagi menandakan berakhirnya bulan Ramadhan yang mana umat Islam telah menjalani ibadat puasa dengan tekun. Ia merupakan antara dua perayaan terbesar bagi umat Islam, selain Hari Raya Aidiladha (Hari Raya Korban). Hari Raya Puasa bermula melalui dua cara; iaitu melalui rukyah (melihat anak bulan) ataupun secara hisab(kiraan). Sekiranya melalui rukyah, apabila anak bulan kelihatan, ini menandakan bermulanya bulan Syawal, iaitu bulan ke-10 dalam Takwim Hijrah Islam. DiMalaysia, anak bulan akan diperhatikan oleh pegawai bertugas pada sebelah petang hingga waktu maghrib di beberapa tempat strategik. Perayaan Hari Raya Puasa merupakan berakhirnya tempoh untuk membayar zakat fitrah iaitu zakat yang dikenakan kepada mereka yang masih hidup sehingga masa itu. Zakat fitrah tidak perlu dibayar bagi mereka yang telah meninggal dunia. Kebiasaannya orang Islam juga akan mula membayar zakat fitrah semenjak bulan puasa bermula dan zakat fitrah ini akan berhenti dikutip apabila solat sunat Aidilfitri dimulakan. Oleh itu, pada kebiasaannya solat sunat Aidilfitri dilewatkan sedikit berbanding solat sunat Aidiladha. Hikmahnya dilewatkan sedikit solat sunat Aidilfitri adalah bagi membenarkan peluang bagi mereka yang belum membayar zakar menunaikan kewajipan mereka dan disunatkan makan dahulu sebelum pergi ke masjid. Berlainan pula, solat sunat Aidiladha digalakkan diawalkan waktunya bagi memberi lebih banyak masa untuk penyembelihan korban.Justeru itu, ada baiknya sekiranya kita mengetahui apakah amalan-amalan yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w sempena menyambut ketibaan hari lebaran Aidilfitri ini.
- Bertakbir -Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untu menunaikan solat Aidilfitri.
- Lafaz ucapan selamat pada hari raya Aidilfitri -Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin’.
- Meneruskan qiamullail -Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud.
- Mandi pada pagi hari raya -Disunnahkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri. Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi.
- Makan sebelum solat Aidilfitri -Disunnahkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri.
- Memakai pakaian yang indah -Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya. Imam Syafie r.h berkata: “Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan).
- Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya -Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Ali bin Abi Thalib r.a: “Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat.” – Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, no: 487. Namun begitu bagi yang sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan dalam syarak. Tetapi, berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan.
- Mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya -Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya.
9.Tempat perlaksanaan solat hari raya -Sunnah mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang atau musolla (tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin) merupakan satu amalan yang jarang dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi s.a.w.
- Mengerjakan Solat Aidilfitri -Di antara syiar yang paling utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlakasanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam.
- Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri -Islam adalah agama yang begitu praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan.
12.Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal Sabda Rasulullah s.a.w: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.”