BANDAR BENTONG
Bentong merupakan salah satu daerah yang terdapat dalam negeri Pahang Darul Makmur yang mempunyai keluasan 183,112.35 hektar. Kedudukannya ialah ke arah timur laut Kuala Lumpur dan bertentangan Banjaran Titiwangsa. Daerah Bentong juga terletak bersebelahan dengan Daerah Gombak, Selangor.
LOKASI BENTONG DALAM PAHANG
Terdapat 3 mukim dalam Daerah Bentong iaitu Mukim Bentong, Mukim Sabai dan Mukim Pelangai. Sejarah nama Bentong berasal daripada "banyak untung" kerana pada masa dahulu, Bentong mempunyai lombong bijih timah. Ayat tersebut menjadi sebutan orang Cina yang melombong, sehingga akhirnya ia menjadi "BENTONG".
DAERAH BENTONG
BUKIT SURAU
Di antara kuala Sungai Benus dengan kuala Sungai Bentong terdapat sebuah bukit. Ia dipanggil Bukit Surau. Sesiapa yang telah naik ke kemuncak Bukit Surau akan melihat tanahnya rata dikelilingi benteng. Oleh sebab itu, kemuncak bukit itu menjadi seperti kubu.
Pada mulanya, kemuncak bukit itu sama seperti bukit-bukit lain. Akan tetapi selepas meletusnya peperangan yang dikenali sebagai Perang Bahaman 1891-1895 di Lubuk Terua, maka Dato’ Bahaman telah mengarahkan beberapa pengikutnya untuk membina kubu di kawasan bukit antara kuala Sungai Benus dan kuala Sungai Bentong. Mereka pun meratakan kemuncak bukit itu dan tanah yang telah digali di bukit itu dijadikan benteng sekeliling bukit. Maka jadilah kemuncak bukit itu seolah-olah seperti sebuah kubu.
Apabila kubu itu siap, maka Dato’ Bahaman pun menghantar beberapa orang harapannya untuk menjaga kubu di kemuncak bukit itu. Imam Adam dijadikan ketua pasukan. Selain mendirikan bangsal tempat berteduh, Imam Adam turut mendirikan sebuah surau.
Malangnya, kubu di kemuncak bukit itu terpaksa ditinggalkan setelah beberapa orang harapan Dato’ Bahaman termasuklah Imam Adam ditembak mati oleh mata-mata yang diketuai oleh Major Mc Callum dari Selangor. Kejadian itu berlaku pada waktu subuh.
Sesungguhnya bukit itu terpaksa ditinggalkan, akan tetapi bangsal dan surau yang didirikan di atas bukit dibiarkan buruk. Oleh kerana sebuah surau telah didirikan antara kuala Sungai Benus dan kuala Sungai Bentong maka bukit itu dipanggil Bukit Surau.
Bukit Surau mercu ditambak,
Dijadikan kubu Dato’ Bahaman,
Jangan dibiar fitnah merebak,
Bila berlaku negara tidak aman
Sumber :Buku sejarah Pahang