Dasar Wanita Negara adalah kesinambungan kepada Dasar Wanita Negara yang digubal pada tahun 1989 dengan mengambil kira isu, peluang, cabaran dan persekitaran masa kini dan yang akan datang. Berteraskan Perlembagaan Persekutuan, prinsip Rukun Negara dan Dasar Sosial Negara, dasar ini mendukung cita-cita untuk mencapai ketaksamaan gender dan pembangunan negara yang seimbang dan lestari. Dasar Wanita Negara ini mendukung prinsip tiada diskriminasi berasaskan gender seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC), Deklarasi dan Pelan Tindakan Beijing (Beijing Platform for Action), Matlamat Pembangunan Milenium (MDGs) serta Deklarasi Putrajaya dan Program Tindakan Mengenai Pembangunan Wanita Dalam Negara Anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM Putrajaya Declaration). Dasar ini berhasrat untuk merealisasikan aspirasi kerajaan dalam membangunkan modal insan yang berdaya saing dan mempunyai ketahanan diri dengan melahirkan wanita yang berilmu dan berwawasan, mempunyai daya kreativiti dan inovasi serta menghayati nilai-nilai murni. Dasar ini bermaksud untuk memberi panduan dan hala tuju dalam usaha perancangan dan perlaksanaan pembangunan wanita atas kesedaran bahawa kaum wanita merupakan separuh daripada penduduk negara yang gigih menyumbang kepada pembangunan negara. Dasar ini dilengkapi dengan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW) bagi memperincikan tindakan yang perlu diambil oleh agensi Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) , sektor swasta dan masyarakat sivil untuk mencapai objektif dan matlamat Dasar Wanita Negara. PTPW mengandungi strategi yang meliputi 13 sektor iaitu ekonomi, kemiskinan, undang-undang, keganasan terhadap Wanita, kesihatan, pendidikan dan latihan, sains dan teknologi, pembuat keputusan, mekanisme, jentera dan institut pembangunan Wanita, media, alam sekitar, suka, dan kebudayaan,

kesenian dan warisan.