Jabatan Pelancongan mula ditubuhkan di bawah Kementerian Perdagangan Malaysia pada tahun 1959. Penglibatan sektor pelancongan dalam Rancangan Malaysia Ke-2 1971-1975 telah menekankan peri pentingnya peranan yang dimainkan industri pelancongan dalam ekonomi Negara. Pada tahun 1980an, kerajaan telah menunjukkan sokongan kepada sektor pelancongan dengan penubuhan Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan pada tahun 1987. Pada 20 Mei 1992, Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan telah diberi nama baru iaitu Kementerian Kebudayaan, Keseniaan dan Pelancongan atau lebih dikenali sebagai MoCAT. Pada bulan April 2004, MoCAT telah dipecahkan untuk menghasilkan Kementerian khas untuk menguruskan semua hal berkaitan pelancongan iaitu Kementerian Pelancongan Malaysia atau MoTour. Perkembangan ini menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam mempromosikan sektor pelancongan sebagai salah satu penyumbang utama kepada pendapatan Negara. Pada 15 Mei 2013, MoTour telah dinamakan semula sebagai Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) selepas Pilihanraya Umum ke-13. Ini adalah bagi mengiktiraf peranan serta hubungan rapat sektor pelancongan dan sektor kebudayaan dalam usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan dunia, yang selari dengan slogan "Malaysia, Truly Asia". Pada 2 Julai 2018, Kementerian ini telah dinamakan semula sebagai Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri dalam pembentukan kabinet selepas pilihanraya umum yang ke-14.