Kuda kepang merupakan satu seni tradisional yang semakin ditelan zaman. Kuda kepang dikenali dengan pelbagai nama seperti jaran kepang, kuda lumping, jathilan dan ebeg. Menurut orang Jawa memberikan makna bagi 'jaran' ialah kuda manakala 'kepang' merujuk kepada anyaman. Bagi masyarakat jawa panggilan bagi kuda kepang yang popular ialah jaran kepangkerana pertunjukan yang dipersembahkan ialah menggunakan anyaman kuda.
Pembuatan kuda kepang adalah dengan menggunakan buluh yang dianyam. Pada awalnya kuda kepang menggunakan pandan yang dianyam tetapi kini ada yang diperbuat daripada papan lapis atau kulit lembu. Ianya biasa berwarna kitam dengan bulu berwarna kuning. Namun pengubahsuaian telah berlaku apabila terdapat juga kuda yang dibalut dengan baldu bagi menampakkan kuda semakin menarik. Kebiasaanya hiasan seperti ini adalah bagi tujuan persembahan diperingkat tinggi.
Mengikut seperti yang dikatakan oleh Soedarsono (1983), kuda kepang mula berkembang sebelum berlakunya perkembangan Islam iaitu pada abad ke XV. Persembahan kuda kepang ini dimainkan dalam upacara pemujaan. Dipercayai, kuda kepang dimainkan adalah bertujuan orang yang masih hidup untuk menjalinkan hubungan dengan roh orang telah mati. Selain itu, mereka percaya kuda kepang dimainkan bertujuan untuk membersihkan desa daripada gangguan roh-roh jahat, penyakit dan malapetaka.
Kuda kepang adalah merupakan sejenis tarian pahlawan berkuda yang berasal daripada Jawa. Telah berlakunya penyebaran kesenian ini meluas serata wilayah di Nusantara. Penyebarannya diteruskan lagi setelah dibawa masuk oleh masyarakat Jawa yang berhijrah ke negara ini dan kekal sehingga sekarang dan masih banyak mengekalkan ciri-ciri keaslian tradisinya. Permainan ini sangat popular khususnya di negeri Johor. Tidak banyak pengubahsuian yang dilakukan walaupun setelah berkurun lama seni kuda kepang ini wujud. Hal ini disebabkan masyarakat Jawa yang begitu kuat mengekalkan seni tradisi mereka dan ini dibuktikan dengan pengekalan seni budaya dan juga tutur bahasa yang digunakan sehari-hari.
Masyarakat Jawa masih tidak lepas daripada kepercayaan unsur ghaib sehinggakan banyak upacara tertentu dilakukan dan salah satu daripadanya ialah persembahan kuda kepang. Dalam kehidupan msyarakat Jawa mereka telah melakukan percampuran antara nilai agama dan juga masih mebgekalkan kepercayaan nenek moyang yang kuat.Daripada beberapa kajian yang telah dibuat, ada pendapat mengatakan tarian kuda kepang ini telah dicipta oleh Wali Sembilan sebagai tarikan dalam usaha mereka menyebarkan syiar Islam di Tanah Jawa. Peristiwa peperangan yang dilalui Rasullullah saw dan para sahabat disampaikan dalam bentuk tarian.