Hari Wesak, Waisak atau Vesak atau Vaiśakha merupakan hari terpenting diraikan penganut agama Buddha memperingati hidup pengasas ajaran mereka iaitu Siddharta Gautama Buddha dalam peringkat-peringkat penting beliau iaitu kelahirannya di Lumbini, pencapaian kecerahan agung selepas sekian lama bertapa dan kemangkatannya di Kusinara. Perayaan ini disambut luas serata Asia SelatanTenggara dan Timur antara bulan April hingga selewat Jun, tetapi khususnya pada bulan Mei

Lazimnya, penganut ajaran Buddha akan mengunjungi kuil atau vihara Buddha pada waktu pagi untuk memberikan penghormatan kepada Buddha; mereka mengibarkan panji agama yang melambangkan ajaran pegangan mereka serta mengalunkan nyanyian mengukuhkan Tiga Permata yang menjadi tiang rukun anutan mereka yakni Buddha, Dhamma dan Sangha. Para pengunjung mempersembahkan pemberian ringkas seperti bunga, lilin dan colok dan di kaki patung-patung Guru Agung mereka; barangan bunga yang cepat layu sepertimana cepat terbakarnya lilin dan colok melambangkan pendeknya usia hayat manusia yang mesti diingati.

Para sami membaca kitab Sutra. Selepas itu penganut Buddha akan bersembahyang dan melepaskan burung merpati. Hari Wesak juga merupakan hari memberi makan kepada orang miskin dan sedekah kepada para sami.