Pendermaan organ atau tisu adalah proses memindahkan organ dan tisu daripada penderma yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia kepada pesakit yang mengalami kegagalan organ pada tahap akhir. Pemindahan organ (transplan) merupakan kaedah rawatan yang terbukti berkesan dan dapat menyelamatkan nyawa pesakit manakala transplan tisu dapat membaikpulih kehidupan pesakit. Pemindahan organ tidak akan berlaku sekiranya tiada penderma. Di Malaysia, hanya penderma yang meninggal dunia secara mati otak sahaja yang boleh mendermakan organ dan tisu. Manakala penderma yang meninggal dunia secara biasa (jantung terhenti) hanya boleh mendermakan tisu. Organ dan tisu yang boleh di dermakan adalah paru-paru, jantung, hati, buah pinggang, mata, injap jantung, tulang dan kulit. Dari perspektif Islam, pemindahan organ diharuskan dengan syarat tidak ada alternatif lain yang boleh menyelamatkan nyawa pesakit. Di samping itu, kaedah rawatan ini juga diharuskan sekiranya tidak mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada penerima organ atau penderma organ (sekiranya penderma masih hidup). Islam juga mensyaratkan pendermaan organ dilakukan secara ikhlas dengan niat untuk membantu orang lain semata-mata kerana Allah SWT. dan bukannya bagi tujuan untuk mendapatkan ganjaran, habuan, populariti atau glamor. Organ dan tisu juga tidak boleh diperniagakan kerana Islam melihat jual beli organ dan tisu sebagai suatu perkara yang haram. Pendermaan organ juga perlu mendapat izin dan persetujuan penderma, yakni pendermaan organ tidak boleh dilakukan kerana dipaksa.