Tahukah anda semua mengenai dasar 1Murid 1Sukan (1M1S) mewajibkan setiap murid menyertai sekurang kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Setiap murid dikehendaki melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun. Dasar 1M1S diwujudkan untuk memberi peluang kepada murid-murid mendapatkan faedah daripada pembabitan dalam sukan, khususnya kepada murid yang kurang atau tidak aktif. Selain itu, objektif 1M1S diwujudkan bertujuan membentuk sahsiah, jati diri, displin atau nilai murni seseorang sekaligus mewujudkan budaya bersukan dalam kalangan generasi muda. Dasar 1M1S juga memastikan murid menguasai kemahiran dan pengetahuan dalam sukan melalui pendekatan berasaskan "Learning Through Play" dan juga memberi keseimbangan antara keperluan akademik dan fizikal. Setiap murid termasuk calon dengan keperluan khas yang tidak mempunyai masalah kesihatan wajib mengambil bahagian sekurang kurangnya satu jenis sukan. Namun demikian, bagi mereka yang ingin menyertai lebih daripada satu sukan di sekolah, tidak akan menjadi masalah. Aktiviti sukan di sekolah diadakan sepanjang tahun berdasarkan kepada aktiviti rumah sukan dan kelab sukan. Kejohanan olahraga sekolah yang didahului oleh Kejohanan Merentas Desa dan sukan tara menjadi aktiviti teras sukan di sekolah. Asas kepada dasar ini adalah pelaksanaan mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) yang berkualiti di sekolah. Segala sumber mata pelajaran PJK hendaklah digunakan sama bagi pelaksanaan dasar ini. Dasar 1M1S ini diwajibkan bagi murid Tahun 4 hingga Tahun 6 pada peringkat sekolah rendah. Untuk sekolah menengah pulan, pelajar Tingkatan Peralihan, Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 diwajibkan mengikuti program ini. Pihak sekolah juga hendaklah mengadakan pertandingan antara tingkatan, kelas, rumah sukan, dorm asrama dan kelab sukan sekolah. Penyertaan murid dalam kejohanan Majlois Sukan Sekolah Daerah (MSSD) atau Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN) atau Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) serta peringkat antarabangsa ialah aktiviti di bawah Dasar 1M1S.