Seluruh penduduk sekitar Bentong bakal menikmati manfaat apabila jalan Simpang Pelangai, Bentong ke Kuala Krai, Kelantan bakal dibina tidak lama lagi selepas proses pengambilalihan tanah penduduk terlibat dengan projek berkenaan selesai. Menurut Pengurus Besar Kanan Projek Jabatan Kerja Raya, Noor Azman Yusoff, projek yang dikenali sebagai Central Spine Road (CSR) bernilai RM5 bilion itu kini sedang dalam perbincangan antara pihak berkuasa dan penduduk tempatan. Jabatan Kerja Raya (JKR) telah dipertanggungjawabkan sepenuhnya dalam menyediakan reka bentuk jalan melalui juru perunding mereka yang memiliki kepakaran dalam bidang itu. Menurut beliau, Projek jalan CSR sepanjang 390 kilometer yang diletakkan di bawah Koridor Ekonomi Wilayah Timur (ECER) tersebut akan dibina dalam lima pakej dan apabila siap, laluan tersebut akan memiliki empat lorong. Menurut Noor Azman, perjalanan antara Bentong ke Kuala Krai kelak hanya mengambil masa selama empat jam berbanding lima jam pada masa sekarang. Manakala dari Bentong ke Gua Musang pula hanya memerlukan perjalanan selama dua jam. Ia juga akan mempercepatkan perjalanan dari arah Selatan termasuk Kuala Lumpur ke Kelantan malah mengurangkan kesesakan trafik terutama pada musim perayaan. Sementara itu, beberapa simpang bertingkat serta jalan susur keluar akan turut dibina. Pembukaan jalan yang menjadi impian penduduk sejak sekian lama itu diharapkan bakal memberi kemudahan perhubungan kepada orang ramai dan mengubah wajah kegiatan sosioekonomi kawasan sekitar. Bahkan dapat merapatkan integrasi penduduk di kawasan berkenaan selain merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi.