Kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan 28 agensi kerajaan Pusat dan negeri bagi menggerakkan mereka secara aktif membantu koperasi meningkatkan kapasiti perniagaan dan mengukuhkan budaya keusahawanan dalam kalangan rakyat. Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Seri Shahiruddin Ab. Moin berkata, antara agensi-agensi terlibat ialah Majlis Amanah Rakyat (Mara), SME Corporation Malaysia (SME Corp), Perbadanan Nasional berhad (PNB) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang menyediakan kemudahan pinjaman, khidmat nasihat serta pelbagai latihan bagi tujuan berkenaan.“Agensi-agensi ini menyediakan pelbagai peluang yang perlu dieksploitasi sepenuhnya dalam mengukuhkan urusan perniagaan seperti geran pinjaman dan latihan,” katanya ketika merasmikan majlis penutup Konvensyen Pembudayaan Keusahawanan Koperasi Sekolah dan Seminar Pembangunan Perniagaan Koperasi peringkat negeri di Genting View Resort, di sini malam tadi.Yang hadir sama Pengarah Suruhanjaya Koperasi Negeri (SKM) negeri, Mohamad Zawawi Mahmud dan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah. Menurut Shahiruddin, perjumpaan itu perlu diadakan bagi membolehkan usahawan dan gerakan koperasi memahami dan mendapat maklumat dengan lebih jelas berhubung peluang serta peranan agensi terbabit dalam membela nasib mereka.Katanya, banyak peluang terutama pinjaman yang disediakan kerajaan menerusi agensi terlibat tidak diketahui usahawan dan pe­ngurusan koperasi menyebabkan dana tersebut kurang mendapat sambutan. “Kesan positif perjumpaan bersemuka ini membolehkan koperasi dan usahawan mengetahui peluang perniagaan serta pinjaman untuk mereka menjalankan perniagaan,” katanya.