Kerajaan negeri mengambil inisiatif memulakan perkhidmatan pengangkutan bas awam di laluan kawasan luar bandar di Pahang Barat menerusi perkhidmatan baharu iaitu bas Syarikat Warisan Seri Jengka (SWSJ) di kawasan Benta di sini baru-baru ini. Komitmen kerajaan negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob untuk menjaga kebajikan rakyat merupakan tanggungjawab sosial selari dengan manifestasi transformasi pembangunan dalam bidang pengangkutan. Satu majlis pelancaran perkhidmatan pengangkutan anak syarikat kerajaan negeri itu disempurnakan oleh Menteri Besar di pekan Benta di sini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad. Pada majlis itu, Adnan turut meras­mikan terminal bas baharu yang dikenali sebagai Terminal Akasia bernilai RM500,000 yang akan beroperasi sebagai perhentian bas, teksi dan premis bagi penduduk Benta serta pengunjung di situ. Adnan ketika berucap pada majlis pelancaran itu berkata, usaha tersebut bertujuan memberikan perkhidmatan pengangkutan awam yang komprehensif, pantas dan efisien kepada penduduk luar bandar termasuk Orang Asli untuk berulang-alik ke bandar Kuala Lipis, Raub dan Jerantut. "Perkhidmatan bas ini penting khususnya bagi keselesaan penduduk Benta dan kawasan berdekatan untuk membuat urusan tertentu di bandar berkenaan kerana sebelum ini cuma menikmati pengangkutan bas swasta menerusi laluan terhad. "Kerajaan negeri meminta pengurusan bas SWSJ untuk menggunakan laluan di Kampung Pagar Sasak, Dada Kering, Kuala Atok dan Tualang Padang daerah ini secara lebih kerap untuk kemudahan penduduk dan pelajar," katanya. Adnan juga berkesempatan memandu sendiri bas SWSJ mengelili­ngi kawasan Benta sejauh 10 kilometer sebagai simbolik melancarkan perkhidmatan pengangkutan itu. Beliau berkata, perkhidmatan bas itu merupakan tanggungjawab sosial kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk keselesaan penduduk luar bandar walaupun syarikat berkenaan menghadapi risiko tidak memperoleh sebarang keuntungan. "Memanglah di mana-mana sekalipun, syarikat bas tidak memperoleh keuntungan malahan kerap rugi kerana menghadapi persaingan dengan perkhidmatan pengangkutan lain selain pengguna kurang berminat menaiki bas. "Bagaimanapun kerajaan negeri tetap melaksanakan perkhidmatan ini untuk menjaga kebajikan penduduk walaupun SWSJ akan menghadapi risiko berkenaan," katanya. Beliau berkata, SWSJ yang sinonim dengan penduduk kawasan Wilayah Jengka juga telah memulakan operasi yang sama di Bera, Temerloh, Bentong dan beberapa destinasi lain negeri ini. Tambahnya, anak syarikat kerajaan negeri iaitu Perbadanan Kemajuan Negei Pahang (PKNP) mempunyai pegangan saham dalam SWSJ akan membantu dari segi pengurusan untuk menyelenggarakan operasi pengangkutan di tempat berkenaan. Sementara itu, Mohd. Soffi yang juga Ahli Dewan Undangan Nege­ri (ADUN) Benta berkata, usaha kerajaan negeri mengambil inisiatif mempertingkatkan tahap perkhid­matan pengangkutan bas awam menerusi perkhidmatan bas itu ke kawasan luar bandar."Pembukaan Terminal Akasia merupakan sebahagian projek kemudahan asas untuk memacu kawasan di sini dalam sektor perniagaan dan pelancongan khususnya keselesaan pengunjung yang transit di Benta. "Selaku wakil rakyat kawasan ini, saya amat berteri­ma kasih kepada Menteri Besar dan kerajaan negeri meluluskan perkhidmatan bas berkenaan serta projek terminal baharu yang mula beroperasi untuk bas dan teksi memunggah penumpang," katanya. Katanya, slogan Janji Ditepati diterjemahkan oleh kerajaan negeri dan pada masa sama mengutamakan keperluan kebajikan penduduk luar bandar menerusi kemudahan pengangkutan awam dan kemudahan tertentu.