Negeri Pahang Darul Makmur merupakan negeri yang terbesar di Semenanjung Tanah Melayu bersempadan dengan Negeri Kelantan di sebelah utara, Negeri Perak, Selangor serta Negeri Sembilan di barat, Negeri Johor di selatan dan Negeri Terengganu serta Laut China selatan di bahagian timur. Negeri Pahang merangkumi kawasan seluas 35,965 kilometer persegi (km2) terbahagi kepada 11 buah daerah pentadbiran iaitu Pekan, Kuantan, Rompin, Maran, Bera, Jerantut, Temerloh, Raub, Bentong, Lipis dan Cameron Highlands.  Jumlah keseluruhan penduduk di negeri ini kira-kira 1,572,700 juta orang dengan kepadatan penduduk seramai 43 orang bagi setiap km2.

Pembukaan terowong dan sebahagian lebuh raya baharu Kuala Lumpur – Karak ini kepada lalu lintas telah disempurnakan oleh YB Datuk Haji Abdul Ghani Gilong, Menteri Kerjaraya Dan Kemudahan-Kemudahan Awam pada 07.01.1978..
Terowong jalan raya yang pertama di Malaysia ini terletak di genting Sempah, panjangnya kira-kira 3 000 kaki, ditebuk di tengah-tengah bukit dan hutan yang melintasi sempada negeri Selangor dan negeri Pahang berdekatan dengan persimpangan jalan lama ke Genting Highlands.. Tingginya ialah kira-kira 2 000 kaki dari paras laut..

Tinggi terowong ialah 26 kaki dan lebarnya 32 kaki.. Di sepanjang terowong diterangi oleh lampu-lampu berwarna merah muda dan sekiranya bekalan elektrik terputus, stanby generator akan bertugas secara automatik. 

Para pengguna terowong ini tidak akan menghirup udara yang beracun seperti gas carbon monoxide atau gas-gas kotor yang lain kerana satu sistem di mana udara bersih dimasukkan ke dalam dan udara kotor dikeluarkan ada disediakan..
Selain dari itu, sistem mencegah dan memadam kebakaran juga dilengkapkan. Perkhidmatan telefon dan lain-lain kemudahan juga disediakan.. Tanda-tanda isyarat lalu lintas dan kawalan yang cukup di dalam terowong disediakan dan sebagai tambahan sebuah sistem kawalan melalui televisyen(CCTV) telah dipasang dengan menggunakan dua buah kemera..
Telefon darurat untuk menghubungi pengawal-pengawal terowong juga turut disediakan. Kakitangan JKR bertugas secara 24 jam di bangunan terowong itu dan sekiranya berlaku kecemasan seperti kemalangan atau kebakaran, pengguna-pengguna terowong adalah diminta menghubungi mereka dengan menggunakan telefon-telefon yang disediakan di sepanjang terowong itu..
Dengan terbukanya terowong lebuh raya ini yang serba indah dan lengkap di Batu 23 jalan Kuala Lumpur – Bentong dan sebahagian jalan baru, maka pengguna-pengguna jalan raya dari Batu 11(Mimaland) hingga ke Batu 28, akan mengalami dan merasai satu perubahan yang sungguh selesa dan menyenangkan.. Mereka tidak lagi mengikuti jalan yang berbengkang-bengkok, tidak lagi menemui selekoh-selekoh yang merbahaya, pendeknya tidak lagi melalui jalan yang berliku atau berkelok-kelok..

Jalan raya dari Batu 11 dan Batu 28 dengan terowong yang terpanjang terletak di Batu 23, Genting Sempah, merupakan sebahagian dari rancangan kerajaan meningkatkan keadaan jalan raya di antara Kuala Lumpur dengan Karak. Projek lebuh raya Kuala Lumpur – Karak ini bermula di Batu 3, Jalan Pahang Kuala Lumpur hinggalah ke batu 54 di pekan Karak.. Sungguhpun jarak lebuh raya baru ini hanya dapat dikurangkan sejauh tujuh batu sahaja, namun perjalanan di lebuh raya baru ini akan dapat dikurangkan sebanyak 45 minit dan dalam keadaan yang lebih selamat dan lebih selesa.

Pusat Ekonomi DigitalTaman Muhibbah sebenarnya berasal dari Pusat Ekonomi Digital Ketari. PEDI Ketari terletak di dalam perkarangan Masjid Ketari dari tahun 2009 sehingga 2015. Ini bermakna usia penubuhannya telah 10 tahun pada tahun ini. Pada November 2015, PEDI Ketari ditukar nama kepada PEDINTaman Muhibbah kerana lokasi juga telah di ubah ke Taman Muhibbah. Ini kerana, pihak berkenaan telah mendapat tempat yang lebih sesuai dan strategik untuk meneruskan operasi PEDI. Tempat baru terletak sangat berhampiran dengan sekolah menengah, sekolah rendah, kelas agama KAFA dan kawasan perumahan. Tapak PEDI ini merupakan sebuah padang yang sangat luas. Terdapat gelanggang badminton, taman permainan dan pondok rehat. Juga terdapat banyak gerai makanan di sekitar PEDI.

Daerah Bentong merupakan salah satu daerah dalam Pahang. Daerah ini merangkumi kawasan seluas 1,831 km persegi. Kedudukannya ke arah timur laut Kuala Lumpur, di sebelah bertentangan Banjaran Titiwangsa. Terletak bersebelahan dengan Daerah Gombak, Selangor, Bentong merupakan bandar yang semakin pesat membangun. Jalan Bentong merupakan laluan utama ke Pantai Timur iaitu Kelantan. Daerah ini terdiri daripada kawasan bandar, perkampungan Melayu Tradisional dan lain – lain kaum serta penempatan orang Asli. Mengikut banci tahun 2006, Bentong mempunyai seramai 104,000 orang penduduk. Bentong merupakan salah satu bandar besar di Pahang. Saiznya lebih kurang menyamai bandar Raub. Populasi sebenar pada tahun 2006 adalah seramai 104,000 orang. Terdapat 6 buah mukikm di dalam Daerah Bentong iaitu Mukim Bentong, Mukim Sabai, Mukim Pelangai, Bandar Bentong, Bandar Karak dan Pekan Telemong. 

Kampung & Kawasan Sekitar

Taman Muhibbah merupakan sebuah taman perumahan yang dibina di dalam kawasan kampung iaitu Kampung Bukit Piatu yang terletak di dalam Mukim Bentong. Kawasan kampung ini telah dimajukan secara peringkat-peringkat pada awal tahun 1964 dan wujudnya Kampung Bukit Piatu dan taman perumahan yang lain – lain ekoran dari pembahagian lot-lot tanah perumahan yang kedudukannya juga pada waktu itu dikelililingi dengan kebun getah milik persendirian dan bekas lombong. Dalam kawasan Kampung Bukit Piatu ini terdapat pula beberapa Taman Perumahan seperti berikut :

  1. Kampung Tradisional Bukit Piatu.
  2. Perumahan Awam Kos Rendah Kg. Bukit Piatu.
  3. Perumahan Kampung Muhibbah @ Taman Muhibbah.
  4. Perumahan Taman Seroja Fasa I dan Fasa II.
  5. Perumahan Taman Melati

Tentera Jepun telah sampai ke Simpang Pelangai pada hari Jumaat jam 10.00 pagi Januari tahun 1942). Di Simpang Pelangai pihak Jepun telah mendirikan Balai Polis Jepun dengan menumpang sebuah kedai Cina bernama Tew Leong Kim. Ketika itu, Simpang Pelangai lebih dikenali oleh pihak Jepun sebagai Kebun Ubi Kayu Leong Kim Simpang Pelangai. Balai Polis Jepun ini diketuai oleh Tuan Yoshida, dan dibantu oleh pembantunya Hashigawa, dan 3 orang anggota polis Melayu, dan 2 orang Cina. Pada zaman pemerintahan British, Balai Polis dikenali sebagai Rumah Pasung Simpang Pelangai, tetapi di zaman Jepun, ia dikenali sebagai, Toko Betsu Ketsatsutai Manchis. Ketika Tentera Jepun tiba di Simpang Pelangai, penduduk kampung di bawah Mukim Pelangai seperti Kg. Simpang Pelangai, Kg. Bukit Gajah, Kg. Jawi-Jawi, dan Kg. Baris, dan Kg. Melan berada dalam keadaan selamat, dan tidak dipengapakan oleh Tentera Jepun. Keadaan ini berlaku disebabkan kebijaksanaan Penghulu Kassim bin Abdullah dan Tok Empat Abu Samah bin Lisut yang memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak Tentera Jepun. Sebaik sahaja Tentera Jepun menduduki Mukim Pelangai, mereka telah membina kubu-kubu pertahanan kerana khuatir kalau-kalau pihak British menyerang mereka semula.  Kubu-kubu tersebut telah dibina di Mancis, di Jawi-Jawi, di Melan, dan di Simpang Pelangai. Bagi mengawal pertahanan di kubu-kubu ini, pihak Jepun telah menubuhkan Pasukan Home-Guard yang disebut Jikeidan dalam Bahasa Jepun dengan bantuan Kempitai yang hanya bersenjatakan kayu cota untuk membantu Polis Jepun dan Tentera Jepun. Di Simpang Pelangai, Ketua Jikeidan yang dipanggil Bodenco disandang oleh allahyarham Mat Akil bin Teh. Pentadbiran Jepun di Tanah Melayu telah melantik seorang Pegawai Tentera Jepun bernama Wataki sebagai Ketua Mukim Pelangai dengan beberapa orang anggota Tentera Jepun berpangkat rendah yang dikenali sebagai Kei Bo (Sarjan), Kei Bo Ho (Koperal), Junsai Bo Cho (Lans Koperal), dan Junsai (mata-mata). Tugas utama Pegawai Jepun ini adalah untuk menjaga keamanan di kampung-kampung, dan menangkap orang-orang yang dianggap pesalah di Mukim Pelangai, dan kemudiannya mereka akan dihantar ke Bentong. Semua anggota Tentera Jepun berpangkat Junsai hingga Kei Bo terdiri daripada orang Melayu. Di Mukim Pelangai seperti juga di tempat-tempat lain di Tanah Melayu, Tentera Jepun menggunakan balai polis, sekolah, masjid dan rumah penghulu sebagai pusat gerakan tentera. Ketika itu, orang-orang kampung enggan bersembahyang di masjid yang diduduki oleh Tentera Jepun.  Mereka juga takut kalau-kalau mereka disuruh menjadi anggota Tentera Jepun atau mencari bekalan makanan untuk mereka. Bagi tujuan mengembangkan kebudayaan Jepun di Tanah Melayu, Sekolah Jepun telah dibuka dengan menitikberatkan Bahasa Jepun (Nippon Go) dan Tulisan Jepun yang dikenali sebagai Katagana dan Kanji. Di Mukim Pelangai pada masa itu, Bahasa Jepun diajar oleh seorang guru bangsa Jepun bernama Kamakara, manakala Bahasa Melayu oleh seorang guru berbangsa Melayu yang dikenali sebagai Cikgu Abd Manaf. Sekolah Jepun di Mukim Pelangai kurang mendapat sambutan, cuma ada kira-kira 25 hingga 30 orang pelajar sahaja. Selain itu, pentadbiran Tentera Jepun (PTJ) turut mengabaikan perkhidmatan kesihatan bagi penduduk Mukim Pelangai. Hospital Bentong yang terus beroperasi ketika itu agak jauh dari Mukim Pelangai kira-kira 42 batu. Oleh itu, masyarakat di Mukim Pelangai masih tertumpu kepada perubatan tradisional untuk mengubati sebarang penyakit.Beberapa orang belia Mukim Pelangai ketika itu telah dipaksa oleh Jepun menjadi buruh keretapi maut di Burma, tetapi kemudiannya mereka telah berjaya melarikan diri, dan kembali ke Mukim Pelangai meskipun menempuh pelbagai rintangan yang sukar dan penuh berbahaya. Sebahagian kecil belia pula ada yang dipaksa menjadi Tentera Jepun (Bo Tai & Heiho) atau Sukarelawan Jepun (Giyu Gun & Gi Yu Tai). Di Mukim Pelangai, orang Melayu boleh dikatakan mendapat layanan yang baik daripada Tentera Jepun berbanding orang Cina. Namun begitu, setiap penduduk kampung tanpa mengira bangsa perlu menundukkan kepala atau Keirei dalam Bahasa Jepun sebagai tanda hormat kepada Pegawai Jepun.  Jika enggan berbuat demikian, orang yang berkenaan akan dikenakan pelbagai seksaan seperti dipukul, ditampar, atau didenda memanjat pokok kelapa, dan sebagainya.Pada tahap awal kehadiran Tentera Jepun, penduduk di Mukim Pelangai tidak mengalami banyak kesulitan sumber makanan kerana padi yang diusahakan sebelum itu masih banyak, tetapi lama kelamaan bekalan padi menjadi semakin berkurangan kerana Tentera Jepun telah mengambilnya secara paksa. Jika sesiapa yang enggan memberikan padi atau sumber makanan lain yang diminta, mereka akan dikasari. Ketika itulah, ramai penduduk Melayu di Pelangai yang menerima penderaan dan penyeksaan. Bagi mengatasi masalah bekalan makanan yang berkurangan. Pentadbiran Tentera Jepun mengerahkan semua penduduk menanam padi di Paya Pelangai seluas kira-kira 70 ekar di bawah pengawasan Tentera Jepun.  Tanaman padi ini semuanya untuk menampung keperluan bekalan makanan Tentera Jepun. Di zaman Pentadbiran Tentera Jepun, makanan harian penduduk dicatu, dan bekalan makanan seperti beras, rokok, gula dan minyak kelapa dibekalkan melalui kad kuasa yang dikeluarkan oleh Ketua Bodencho Jepun, Mat Akil bin Teh. Di Mukim Pelangai, sungguhpun Tentera Jepun bermaharajalela dan berbuat sesuka hati mereka dengan merampas harta dan barang-barang seperti padi, buah kelapa, serta membunuh orang-orang Cina, dan lain-lain, tetapi setakat yang dilaporkan tiada berlaku perbuatan kejam seperi memperkosa kaum wanita, membunuh, melambung anak-anak kecil, dan ditadahkan dengan benet senapang, serta perbuatan kejam yang lain. Perkara ini tidak berlaku disebabkan kebijaksanaan Penghulu Kassim, Tok Empat Abu Samah, dan Ketua Bodencho Jepun Mat Akil bin Teh yang pandai mengambil hati Ketua Tentera Jepun di Mukim Pelangai. Oleh itu, tiadalah berlaku pembunuhan terhadap orang Melayu di Mukim Pelangai oleh Tentera Jepun kecuali beberapa orang Cina ditembak kerana disyaki bersuhabat dengan komunis. Di Mukim Pelangai seperti juga di tempat-tempat lain di Pahang, dan Tanah Melayu amnya adalah zaman yang penuh penderitaan dan pahit-gretir yang sukar dibayangkan. Makanan dan pakaian amat sukar diperolehi ketika itu. Rakyat-jelata terpaksa bergantung hidup dengan catuan makanan seperti ubi kayu, ubi gadung, pisang, dan sagu menggantikan beras yang sukar diperolehi. Jika berlaku kematian, tekpaksa jenazah dikapankan dengan tikar mengkuang kerana sukar untuk mendapatkan kain kapan. Meskipun begitu, secara umum, penududuk Mukim Pelangai  terlepas dari siksaan Tentera Jepun, tidak  seperti yang berlaku di Lipis, dan tempat-tempat lain di Pahang. Sewaktu Tentera Jepun menyerah kalah kepada pihak Berikat, Tentera Jepun di Mukim Pelangai telah dijadikan tawanan perang kepada Tentera British, dan semua mereka ditempatkan di Kg. Jawi-Jawi.  Pada masa itu, Tentera Jepun yang ditawan telah dikerah menebas hutan tebal untuk membuat jalan ke Paya Pelangai.