Tentera Jepun telah sampai ke Simpang Pelangai pada hari Jumaat jam 10.00 pagi Januari tahun 1942). Di Simpang Pelangai pihak Jepun telah mendirikan Balai Polis Jepun dengan menumpang sebuah kedai Cina bernama Tew Leong Kim. Ketika itu, Simpang Pelangai lebih dikenali oleh pihak Jepun sebagai Kebun Ubi Kayu Leong Kim Simpang Pelangai. Balai Polis Jepun ini diketuai oleh Tuan Yoshida, dan dibantu oleh pembantunya Hashigawa, dan 3 orang anggota polis Melayu, dan 2 orang Cina. Pada zaman pemerintahan British, Balai Polis dikenali sebagai Rumah Pasung Simpang Pelangai, tetapi di zaman Jepun, ia dikenali sebagai, Toko Betsu Ketsatsutai Manchis. Ketika Tentera Jepun tiba di Simpang Pelangai, penduduk kampung di bawah Mukim Pelangai seperti Kg. Simpang Pelangai, Kg. Bukit Gajah, Kg. Jawi-Jawi, dan Kg. Baris, dan Kg. Melan berada dalam keadaan selamat, dan tidak dipengapakan oleh Tentera Jepun. Keadaan ini berlaku disebabkan kebijaksanaan Penghulu Kassim bin Abdullah dan Tok Empat Abu Samah bin Lisut yang memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak Tentera Jepun. Sebaik sahaja Tentera Jepun menduduki Mukim Pelangai, mereka telah membina kubu-kubu pertahanan kerana khuatir kalau-kalau pihak British menyerang mereka semula.  Kubu-kubu tersebut telah dibina di Mancis, di Jawi-Jawi, di Melan, dan di Simpang Pelangai. Bagi mengawal pertahanan di kubu-kubu ini, pihak Jepun telah menubuhkan Pasukan Home-Guard yang disebut Jikeidan dalam Bahasa Jepun dengan bantuan Kempitai yang hanya bersenjatakan kayu cota untuk membantu Polis Jepun dan Tentera Jepun. Di Simpang Pelangai, Ketua Jikeidan yang dipanggil Bodenco disandang oleh allahyarham Mat Akil bin Teh. Pentadbiran Jepun di Tanah Melayu telah melantik seorang Pegawai Tentera Jepun bernama Wataki sebagai Ketua Mukim Pelangai dengan beberapa orang anggota Tentera Jepun berpangkat rendah yang dikenali sebagai Kei Bo (Sarjan), Kei Bo Ho (Koperal), Junsai Bo Cho (Lans Koperal), dan Junsai (mata-mata). Tugas utama Pegawai Jepun ini adalah untuk menjaga keamanan di kampung-kampung, dan menangkap orang-orang yang dianggap pesalah di Mukim Pelangai, dan kemudiannya mereka akan dihantar ke Bentong. Semua anggota Tentera Jepun berpangkat Junsai hingga Kei Bo terdiri daripada orang Melayu. Di Mukim Pelangai seperti juga di tempat-tempat lain di Tanah Melayu, Tentera Jepun menggunakan balai polis, sekolah, masjid dan rumah penghulu sebagai pusat gerakan tentera. Ketika itu, orang-orang kampung enggan bersembahyang di masjid yang diduduki oleh Tentera Jepun.  Mereka juga takut kalau-kalau mereka disuruh menjadi anggota Tentera Jepun atau mencari bekalan makanan untuk mereka. Bagi tujuan mengembangkan kebudayaan Jepun di Tanah Melayu, Sekolah Jepun telah dibuka dengan menitikberatkan Bahasa Jepun (Nippon Go) dan Tulisan Jepun yang dikenali sebagai Katagana dan Kanji. Di Mukim Pelangai pada masa itu, Bahasa Jepun diajar oleh seorang guru bangsa Jepun bernama Kamakara, manakala Bahasa Melayu oleh seorang guru berbangsa Melayu yang dikenali sebagai Cikgu Abd Manaf. Sekolah Jepun di Mukim Pelangai kurang mendapat sambutan, cuma ada kira-kira 25 hingga 30 orang pelajar sahaja. Selain itu, pentadbiran Tentera Jepun (PTJ) turut mengabaikan perkhidmatan kesihatan bagi penduduk Mukim Pelangai. Hospital Bentong yang terus beroperasi ketika itu agak jauh dari Mukim Pelangai kira-kira 42 batu. Oleh itu, masyarakat di Mukim Pelangai masih tertumpu kepada perubatan tradisional untuk mengubati sebarang penyakit.Beberapa orang belia Mukim Pelangai ketika itu telah dipaksa oleh Jepun menjadi buruh keretapi maut di Burma, tetapi kemudiannya mereka telah berjaya melarikan diri, dan kembali ke Mukim Pelangai meskipun menempuh pelbagai rintangan yang sukar dan penuh berbahaya. Sebahagian kecil belia pula ada yang dipaksa menjadi Tentera Jepun (Bo Tai & Heiho) atau Sukarelawan Jepun (Giyu Gun & Gi Yu Tai). Di Mukim Pelangai, orang Melayu boleh dikatakan mendapat layanan yang baik daripada Tentera Jepun berbanding orang Cina. Namun begitu, setiap penduduk kampung tanpa mengira bangsa perlu menundukkan kepala atau Keirei dalam Bahasa Jepun sebagai tanda hormat kepada Pegawai Jepun.  Jika enggan berbuat demikian, orang yang berkenaan akan dikenakan pelbagai seksaan seperti dipukul, ditampar, atau didenda memanjat pokok kelapa, dan sebagainya.Pada tahap awal kehadiran Tentera Jepun, penduduk di Mukim Pelangai tidak mengalami banyak kesulitan sumber makanan kerana padi yang diusahakan sebelum itu masih banyak, tetapi lama kelamaan bekalan padi menjadi semakin berkurangan kerana Tentera Jepun telah mengambilnya secara paksa. Jika sesiapa yang enggan memberikan padi atau sumber makanan lain yang diminta, mereka akan dikasari. Ketika itulah, ramai penduduk Melayu di Pelangai yang menerima penderaan dan penyeksaan. Bagi mengatasi masalah bekalan makanan yang berkurangan. Pentadbiran Tentera Jepun mengerahkan semua penduduk menanam padi di Paya Pelangai seluas kira-kira 70 ekar di bawah pengawasan Tentera Jepun.  Tanaman padi ini semuanya untuk menampung keperluan bekalan makanan Tentera Jepun. Di zaman Pentadbiran Tentera Jepun, makanan harian penduduk dicatu, dan bekalan makanan seperti beras, rokok, gula dan minyak kelapa dibekalkan melalui kad kuasa yang dikeluarkan oleh Ketua Bodencho Jepun, Mat Akil bin Teh. Di Mukim Pelangai, sungguhpun Tentera Jepun bermaharajalela dan berbuat sesuka hati mereka dengan merampas harta dan barang-barang seperti padi, buah kelapa, serta membunuh orang-orang Cina, dan lain-lain, tetapi setakat yang dilaporkan tiada berlaku perbuatan kejam seperi memperkosa kaum wanita, membunuh, melambung anak-anak kecil, dan ditadahkan dengan benet senapang, serta perbuatan kejam yang lain. Perkara ini tidak berlaku disebabkan kebijaksanaan Penghulu Kassim, Tok Empat Abu Samah, dan Ketua Bodencho Jepun Mat Akil bin Teh yang pandai mengambil hati Ketua Tentera Jepun di Mukim Pelangai. Oleh itu, tiadalah berlaku pembunuhan terhadap orang Melayu di Mukim Pelangai oleh Tentera Jepun kecuali beberapa orang Cina ditembak kerana disyaki bersuhabat dengan komunis. Di Mukim Pelangai seperti juga di tempat-tempat lain di Pahang, dan Tanah Melayu amnya adalah zaman yang penuh penderitaan dan pahit-gretir yang sukar dibayangkan. Makanan dan pakaian amat sukar diperolehi ketika itu. Rakyat-jelata terpaksa bergantung hidup dengan catuan makanan seperti ubi kayu, ubi gadung, pisang, dan sagu menggantikan beras yang sukar diperolehi. Jika berlaku kematian, tekpaksa jenazah dikapankan dengan tikar mengkuang kerana sukar untuk mendapatkan kain kapan. Meskipun begitu, secara umum, penududuk Mukim Pelangai  terlepas dari siksaan Tentera Jepun, tidak  seperti yang berlaku di Lipis, dan tempat-tempat lain di Pahang. Sewaktu Tentera Jepun menyerah kalah kepada pihak Berikat, Tentera Jepun di Mukim Pelangai telah dijadikan tawanan perang kepada Tentera British, dan semua mereka ditempatkan di Kg. Jawi-Jawi.  Pada masa itu, Tentera Jepun yang ditawan telah dikerah menebas hutan tebal untuk membuat jalan ke Paya Pelangai. 

Lebuhraya Karak  atau nama rasminya Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak adalah lebuhraya capaian separa sejauh 60 km menghubungkan Kuala Lumpur dengan bandar Karak di Pahang. Lebuhraya ini mempunyai sepasang terowong di kawasan peranginan terkenal di Malaysia iaitu Genting Highlands. Lebuhraya ini pada asalnya merupakan lebuhraya dua lorong bertol sebelum dinaiktaraf kepada lebuhraya ekspres penuh pada tahun 1997. Had laju lebuhraya ini adalah 90 km/j. Lebuhraya Karak pada asalnya dibina pada tahun-tahun 1970an oleh kerajaan Malaysia sebagai alternatif kepada Jalan Gombak - Bentong yang sempit dan bengkang-bengkok. Lebuhraya ini juga adalah sebahagian daripada Laluan Persekutuan 2. Lebuhraya tersebut mempunyai sebuah terowong sepanjang 900 m di Genting Sempah yang merupakan terowong jalan raya pertama dibina di Malaysia. Walau bagaimanapun, kos pembinaan lebuhraya tersebut adalah agak mahal bagi Malaysia pada masa itu memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara pertanian pada masa tersebut. Oleh itu, kerajaan memutuskan untuk menjadikan Lebuhraya Karak sebagai jalan raya tol bagi membantu mendapat pulangan bagi kos pembinaan. Hasilnya, 2 plaza tol dibina di Gombak dan Bentong dan lebuhraya tersebut diletakkan di bawah pentadbiran Lembaga Lebuhraya Malaysia. Lebuhraya ini dibuka kepada lalu lintas pada tahun 1977. Kepentingan Lebuhraya Karak sebagai laluan utama dari Kuala Lumpur ke negeri-negeri pantai timur menyebabkan kerajaan mengambil keputusan untuk menaik taraf jalan raya 2 lorong tersebut kepada lebuhraya ekspres penuh berbilang lorong dengan membina satu lagi laluan tambahan bersebelahan dengan laluan asal. Dengan itu, lebuhraya tunggal 2 lorong tersebut dinaiktaraf menjadi sebuah lebuhraya berkembar dengan 6 lorong (3 lorong pada setiap hala) di bahagian antara Kuala Lumpur dan Persimpangan Genting Highlands dan 4 lorong (2 lorong di setiap hala) pada bahagian selebihnya. Kerja-kerja menaik taraf termasuk pembinaan terowong kedua di sebelah terowong asal bagi membolehkan tambahan 2 lorong bagi lalu lintas arah timur, pembesaran plaza tolGombak dan Bentong serta pembinaan persimpangan bertingkat bagi menggantikan simpang biasa. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa simpang yang tidak dapat dinaik taraf kepada persimpangan bertingkat disebabkan faktor geografi, maka beberapa pusingan-U dibina bagi membolehkan kenderaan dari arah bertentangan dapat keluar masuk ke simpang tersebut. Kerja-kerja menaik taraf selesai pada tahun 1997. MTD Prime memegang konsesi Lebuhraya Karak serta Lebuhraya Pantai Timur. Lebuhraya Karak diberi kod  E8 setelah kerja naik taraf selesai, menyebabkan lebuhraya ini mempunyai 2 kod laluan. Akibatnya, sesetengah peta melabelkan Lebuhraya Karak sebagai E8 manakala sesetengah peta yang lain pula melabelkannya sebagai Laluan Persekutuan 2. Walau apa pun kod laluan yang digunakan, kedua-duanya boleh digunakan bagi mewakili Lebuhraya Karak memandangkan lebuhraya itu sendiri adalah sebahagian daripada Laluan Persekutuan 2. Sebagaimana jalan raya pergunungan yang lain, Lebuhraya Karak juga menghadapi risiko tanah runtuh terutamanya pada musim hujan. Oleh itu, pemandu dinasihatkan agar tidak menggunakan laluan pergunungan termasuklah Lebuhraya Karak pada musim hujan bagi mengelakkan risiko tanah runtuh selain jarak penglihatan yang terhad.

Bentong Kali : Penjenayah Berhati Binatang

Posting kali ini hanyalah imbauan lampau yang boleh dijadikan pedoman. Andai kata tersesat jalan, cepat-cepatlah kembali semula ke pangkal jalan. Berasal dari Bentong, P Kalimuthu atau juga dikenali sebagai Bentong Kali. Beliau merupakan Anak kelapan daripada 11 beradik. Mula terjebak dalam kegiatan jenayah seawal usia 14 tahun iaitu selepas dia meninggalkan alam persekolahan pada tingkatan satu. Tiada lagi alam persekolahan seperti  baik remaja lain, Kalimuthu menyertai kumpulan kongsi gelap Cina 04 dan mula mengenali dunia jenayah. Atas kesalahan tertentu, dia ditahan dan kemudian dipenjara ketika usia 19 tahun tetapi dibebaskan tidak lama selepas itu. Dipenjara pada usia muda tidak menginsafkan Kalimuthu sebaliknya kira-kira empat tahun selepas dibebaskan, dia kembali bergelumang dengan dunia jenayah dengan menyertai kumpulan kongsi gelap India 08. Bersama kumpulan haram dan rakan penjenayah baru, Kalimuthu aktif mencabar undang-undang sekitar ibu kota iaitu di Brickfields, Segambut, Sungei Way dan Ampang. Dia ditahan semula pada Julai 1985 mengikut Ordinan Darurat serta pernah ditempatkan di Pulau Jerjak, Pulau Pinang tetapi dibebaskan pada 1987 bersama sekatan kediaman terhad di Kuantan, Pahang. Dunia jenayah bagaikan matlamat kehidupannya. Peluang kedua untuk mengubah hidup mengikut undang-undang diabaikannya apabila lelaki itu kembali menyertai dunia jenayah. Bagaimanapun, kali ini dia tidak lagi menyertai kumpulan jenayah sedia ada sebaliknya menubuhkan kumpulan kongsi gelap 04 yang tertumpu di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. Antara kegiatan kumpulan 04 yang ditubuhkannya ialah aktif mengedar dadah dan untuk kesalahan itu, Kalimuthu ditahan lagi pada April 1990 dan didakwa mengikut Akta Dadah Berbahaya. Bagaimanapun, dia terlepas daripada hukuman apabila bukti tidak cukup untuk mensabitkan kesalahannya. Untuk kali kedua, dia dikenakan sekatan kediaman terhad di Gopeng,Perak, selama dua tahun. Kalimuthu kemudian menghilangkan diri pada November 1984. Pada 1991, Kalimuthu dikatakan mula mengganas kembali dengan melakukan pembunuhan demi pembunuhan sehingga menyebabkan polis mula melancarkan Ops Buncit pada Jun 1993 untuk menghentikan keganasan lelaki itu. Ops Buncit disertai 200 pegawai dan anggota polis termasuk dari Kuala Lumpur, Pahang dan Selangor digerakan secara besar-besaran membuktikan polis serius untuk memburu Bentong Kali hingga ke lubang cacing. Lagak lelaki bernama P Kalimuthu itu bagaikan negara ini tiada undang-undang dan dia bebas berbuat apa saja mengikut kehendak nafsunya termasuk membunuh seseorang. Pemikiran songsangnya itu menyebabkan Kalimuthu atau digelar Bentong Kali menjadi antara penjenayah paling berbahaya dan diburu polis pada dekad 1990-an selepas Wong Swee Chin atau Botak Chin pada 1970-an. Bentong Kali disyaki terbabit dalam kejadian ini kerana mangsa ditembak pada jarak dekat. Selain itu, bukti kelongsong peluru jenis 9 milimeter (mm), iaitu dari pistol jenis Sig Sauer buatan Jerman dipercayai digunakan oleh penjenayah kejam ini terhadap semua mangsanya. Peluru jenis yang sama juga turut ditemui dalam lapan kes pembunuhan berlainan yang berlaku sebelum itu. Penjenayah gila ini melakukan jenayahnya tidak memilih mangsa. Disatu kejadian pada jam 5.30 pagi di sebuah restoran di Jalan Kelang Lama, umum digemparkan dengan pembunuhan  seorang pembuat teh tarik Abdul Samad Hameed yang telah ditembak mati dalam jarak dekat oleh P. Kalimuthu tanpa sebarang sebab yang munasabah. Pembunuhan paling dahsyat dilakukan penjenayah yang berasal dari Bentong ini adalah kejadian menembak enam orang lelaki yang menghadiri majlis hari jadi di Taman Taming Jaya. Dalam kejadian kira-kira pada pukul 11 malam itu, tiga orang daripada mangsa menemui ajal di tempat kejadian, seorang mati setiba di Hospital Kajang, manakala dua orang lagi mangsa cedera parah. Rekodnya adalah 16 kes pembunuhan sehingga polis menawarkan ganjaran RM100,000 kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat sehingga tertangkapnya penjenayah kejam itu. Selain rekod pembunuhan itu, Bentong Kali turut disyaki dalam banyak lagi kes jenayah termasuk mencederakan polis. Bentong Kali meninggalkan jejak jenayahnya menerusi kelongsong peluru jenis 9mm daripada pistol Sig Sauer buatan Jerman yang dijumpai dalam kebanyakan kes pembunuhannya sebelum itu. Dalam satu kejadian di Taman Taming Jaya, Balakong, pada Jun 1993, seorang penjual roti canai menegur perbuatan tidak sopan seorang lelaki yang membuang air kecil berhampiran dengan rumahnya. Namun, tegurannya itu membawa padah. Lelaki berkenaan berang dengan teguran penjual roti canai tersebut. Tanpa diduga, lelaki berkenaan mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan satu das tembakan ke arah penjual roti canai itu. Penduduk berhampiran yang menyedari kejadian tersebut cuba membantu dan menghantar penjual roti itu ke Hospital Kajang. Walau bagaimanapun mangsa mati ketika dalam perjalanan – itulah salah satu jenayah tidak masuk akal yang dilakukan P. Kalimuthu atau lebih dikenali sebagai Bentong Kali, penjenayah zalim di negara ini pada awal 1990-an. Bentong Kali tidak memerlukan alasan yang kukuh untuk membunuh seseorang. Kesalahan yang kecil sudah mencukupi untuk menamatkan riwayat orang yang tidak disukainya, dan sudah menjadi tabiatnya menembak mangsanya pada jarak dekat. Beberapa hari selepas kejadian itu, nama Bentong Kali sekali lagi disebut-sebut terbabit dalam satu kejadian pembunuhan seorang lelaki dan mencederakan seorang lelaki lain di Kampung Sungai Tepi, Jalan Klang Lama. Dalam kejadian itu, mangsa yang terbunuh ditembak dua kali di dadanya. Beberapa minit selepas kejadian pada pukul 4.00 petang itu, Bentong Kali menyerang pula seorang lelaki lain di kawasan berdekatan, namun mangsanya kali itu bernasib baik kerana hanya mengalami kecederaan. Polis mengklasifikasikan profil lelaki itu sebagai bukan pembunuh upahan sebaliknya Bentong Kali yang bergerak bersama pengikutnya sekadar melakukan pembunuhan demi pembunuhan mengikut kehendak nafsu mereka. Bentong Kali juga dikatakan memiliki banyak tatu dilukis pada badan dantangannya seperti tanda palang dan ungkapan Born To Die. Pada tangan kanannya terdapat gambar kepala harimau manakala di tangan kirinya terukir gambar perempuan bogel, ular dan helang. Tatu dibahagian belakang badannya pula dilukis gambar helang dan kedua-dua pahanya ada gambar perempuan bogel. Kalimuthu turut memiliki parut kesan pembedahan di perut. Dalam gerakan memburu penjenayah itu, poster dikehendaki polis yang antara lain memaparkan wajah Bentong Kali dan kegiatan jenayahnya mula ditampal di tempat awam. Dengan ganjaran RM100,000 kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat sehingga tertangkapnya penjenayah ganas itu, kes buruan polis itu terus menjadi berita hangat. Poster itu turut diedarkan di kawasan sempadan bagi membolehkan orangramai mengesan kehadirannya dan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand dipertingkatkan bagi mengelak Kalimuthu bolos ke negara jiran. Tindakan bijak pihak polis yang menghebahkan berita mengatakan Bentong Kali kini berada di luar negara, membuatkan bentong kali berasa selamat dan selesa. Ini membuatkan beliau leka dan keluar dari tempat persembunyiaannya. Polis terus melancarkan gerakan memburu Kalimuthu selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu. Serbuan demi serbuan dijalankan untuk menjejak penjenayah itu antaranya di lokasi yang menjadi tumpuan jenayahnya iaitu sekitar Kuala Lumpur di Jalan Klang Lama, Brickfields, Taman Melawati, Ampang, Balakong, Kajang, Raub dan Bentong. Pencarian pihak berkuasa kemudian berhasil apabila Bentong Kali dikatakan keluar dari persembunyiannya dipercayai untuk mencari seorang bekas konconya di Jalan Klang Lama. Intipan polis kemudian membawa kepada serbuan di markas persembunyian lelaki itu di sebuah rumah teres dua tingkat di Medan Damansara, Kuala Lumpur pada 29 Jun 1993. Subuh menjelang apabila sepasukan anggota elit polis dari Unit TindakanKhas (UTK) Bukit Aman, mengambil posisi dan mengepung kawasan perumahan itu. Turut menyertai operasi adalah unit pemusnah bom. Situasi genting itu kemudian bertukar menjadi drama tembak-menembak. Bentong Kali bersama dua pengikutnya melepaskan dua das tembakan kepada polis yang mengepung kawasan itu. Bagaimanapun, kedua-dua tembakan penjenayah itu tidak mengenai atau mencederakan anggota polis. Menyedari tindakan agresif penjenayah itu dan cubaan mereka untuk melarikan diri, polis mengambil tindakan pantas dengan membalas tembakan. Tembakan balas sekitar jam 6.30 pagi menyebabkan ketiga-tiga penjenayah terbabit terbunuh dengan satu das tembakan di kepala menamatkan riwayat P Kalimuthu. Kejayaan itu menamatkan episod das-das tembakan daripada penjenayah terbabit sepanjang era keganasannya yang membunuh kira-kira 16 mangsa.

Menurut sumber katanya nama Janda baik ini diambil daripada kisah sepasang suami isteri Orang Asli yang mendiami kawasan itu dan telah mengusahakan tanaman padi huma di lereng bukit tersebut. Mereka telah berpisah berikutan perselisihan faham, sebelum padi huma berbuah. Ketika padi huma berkenaan berbuah dan boleh dituai pasangan tersebut, telah datang semula kekawasan itu dan bertemu di Pulau Santap. Mereka kemudian berbaik semula sebagai pasangan suami isteri. Mengambil kisah seorang janda berbaik semula dengan suaminya, maka kawasan itu dipanggil Janda Baik. Info dan asalnya Kampung Janda Baik telah diterokai oleh tiga penduduk kampung dari Kampung Benus, Bentong pada 1932 iaitu Haji Deris, Haji Yasseh dan Haji Kadir. Terdapat 2,820 keluarga dan sebanyak 572 rumah terdapat disini. Jarak dari Kula Lumpur hanyalah 36 km dan sejauh 40 km dari Bandar Bentong. Janda Baik terletak di Banjaran Titiwangsa pada ketinggian 600 – 800 meter dari paras laut. Disini terdapat khazanah flora dan fauna termasuk pokok balau yang berusia 250 tahun. Juga terdapat kampung tradisional Melayu, iaitu Kampung Sum-sum, Cheringin, Chemperoh, Kampung Jadan Baik dan Kampung Orang Asli Semelai.

Pada tanggal 7 Januari 1978, Terowong dan Lebuhraya Karak - Kuala Lumpur telah dibuka dengan rasminya kepada lalu lintas oleh Menteri Perhubungan dan Kerjaraya, Datuk Haji Abdul Ghani Gilong. Lebuhraya yang mengandungi sebuah terowong sepanjang 3,000 kaki di Genting Sempah Lebuhraya sepanjang 47 batu ini telah mendekatkan Karak dengan Kuala Lumpur. Lebuhraya yang menelan belanja sebanyak 136.4 juta ini merupakan laluan alternatif kepada jalan Gombak - Bentong yang sempit dan bengkang-bengkok dengan dibiayai melalui pinjaman daripada Bank Pembangunan Asia. Terowong Lebuhraya Karak - Kuala Lumpur ini merupakan yang pertama di bina di Malaysia ini, telah dilengkapi dengan kamera bagi mengawal pergerakan kenderaan yang melalui terowong ini yang dipancarkan di rumah kawalan terowong. Sesungguhnya, pembinaan terowong dan Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur ini telah memendekkan perjalanan di antara Kuala Lumpur dan negeri-negeri Pantai Timur, serta menggalakkan perkembangan ekonomi yang lebih pesat.