Dulu, melukis pada dinding jalanan di anggap sebagai perbuatan salah laku (vandalisme). Perbuatan ini menyusahkan pihak berkuasa tempatan dan pemilik kedai kerana perlu mengeluarkan kos dan tenaga untuk membersihkan cat dan lukisan yang dibuat. Hari ini, seni jalanan mula mendapat perhatian sebagai satu bentuk ekspresi artistik dan juga satu cara untuk memperindahkan dinding bangunan di sekitar bandar. Ia menjadi satu lagi tarikan terbaru. Seni jalanan juga membantu untuk mendokumentasi budaya dan warisan sesebuah masyarakat. Oleh yang demikian, pelajar dan guru dari beberapa buah sekolah di Bentong bekerjasama untuk melukis di dinding-dinding yang di pilih. Kebanyakannya terletak di kawasanbandar, seperti bangunan pasar dan bangunan rumah kedai. Program ini diharap akan mencambah rasa sayang golongan muda pada pekan ini selain membuat mereka rasa bangga dengan hasil tangan sendiri. Penduduk Bentong sendiri, seperti pekerja di pasar sehinggalah ke pengunjung, kagum dengan mural yang dihasilkan. Pengunjung dari luar juga dilihat sanggup memberhentikan kereta di tepi jalan untuk bergambar kenangan.

Muzium Felda Lurah Bilut dibuka secara rasmi pada 2005. Muzium ini cukup istimewa dan unik berbanding kebanyakan muzium lain kerana ia memaparkan sejarah dan kisah di sebalik kehidupan peneroka awal Lembah Bilut. Di sinilah tempatnya jika mahu mengimbau bagaimana peneroka asal membantu kerajaan menjayakan tanah rancangan baharu. Bangunan muzium ini adalah bekas pejabat pentadbiran lama. Berdekatan dengan pintu gerbang utama muzium, tersergam megah replika pisau penoreh getah. Ini kerana kegiatan pertanian utama peringkat awalnya ialah tanaman getah sebelum ditukar kepada tanaman kelapa sawit yang lebih cepat memberikan hasil. Namun, sejarah tanaman getah tidak pernah dilupakan. Sebab itulah banyak koleksi berkaitan dipamerkan seperti pisau toreh getah, tong susu getah, basikal tua, cawan susu dan juga pelbagai gambar sejarah awal peneroka membuka ladang getah.

Tarikan terbaru di Bentong adalah Rumah Terbalik Bentong yang terletak di Desa Pertiwi, iaitu terletak sejauh 6km dari Bandar Bentong. Ia dibuka setiap hari, kecuali Khamis. Idea untuk membuka perniaagaan ini tercetus selepas pemiliknya melawat Rumah Terbalik di Pulau Pinang. Bangunan rumah kedai tiga tingkat ini dibahagikan kepada tiga tema untuk setiap tingkat, iaitu tema 70'an untuk tingkat satu, tema moden untuk tingkat dua dan tema kekeluargaan di tingkat tiga. Pemiliknya merupakan anak jati Bentong. Caj yang dikenakan juga amat berpatutan, iaitu RM20.00 bagi dewasa, RM15.00 bagi pelajar beruniform dan RM12.00 bagi kanak-kanak dan warga emas. Terdapat juga pakej keluarga yang bernilai RM53.00 bagi dua orang dewasa dan dua orang kanak-kanak. Kanak-kanak berusia tiga tahun ke bawah di beri masuk secara percuma. Manakala bagi yang datang secara berkumpulan lebih dari sepuluh orang, di beri satu tiket percuma. Waktu operasi adalah dari jam 10.00 pagi hingga jam 7.00 petang. Rumah Terbalik Bentong mula dibuka pada September 2016 dan mula menarik minat pelancong dari luar Pahang
Genting Highlands Premium Outlet dibuka pada 15 Jun 2017. Lagi dua minggu sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri. Tarikh pembukaan ini sangat tepat kerana pada waktu ini adalah waktu puncak untuk masyarakat Melayu sedang sibuk membuat persiapan terakhir. Lokasi yang strategik, iaitu berhampiran dengan Kuala Lumpur dan Bentong sendiri. Ini sangat memudahkan kerana sebelum ini Premium Outlet yang lain hanya terdapat di Johor, Melaka dan Sepang.

Tarikan tersohor dan di anggap sebagai ikon Bentong pada waktu ini adalah Restoran Lemang To'ki. 10 tahun lepas, pemiliknya hanya berniaga lemang pada setiap hari berbanding pengusaha lain yang berniaga pada musim perayaan. Setelah lebih lima tahun menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan mendapat kerjasama dari pihak Majlis Perbandaran Bentong, Mazlan mula membuka restoran di tapak perniagaan lemang tersebut. Restoran beliau di iktiraf sebagai Hentian Rehat dan Rawat (R&R). Pengunjung makin bertambah dari hari ke hari dan mula menjadi port persinggahan kelab-kelab motosikal, kereta dan basikal. Selepas tiga tahun beroperasi, Mazlan mula membuka cawangan kedua di Raub dan cawangan ketiga di pinggir bandar Bentong, yang berhampiran lebuh raya ke Kuala Lumpur. Menu utama adalah lemang, air batu campur (ABC), cendol, ayam bakar dan daging bakar. Menu lain terdiri dari menu kampung, masakan barat dan masakan Thai. Mazlan menyatakan beliau mempelajari cara memasak lemang dari seorang kenalan yang tinggal di Perak yang bernama Tok Aki. Kerana itula restoran beliau di namakan Lemang To'Ki. Dalam masa beberapa bulan lagi, Mazlan bakal membuka cawangan keempat di bandar Bentong yang mengkhusus kepada air batu campur dan cendol sahaja, manakala bagi makanan pula beliau menyediakan gerai-gerai kecil untuk peniaga kecil berniaga pelbagai jenis makanan di bawah satu bumbung. Restoran baru di beri nama ABC One. Suasana di kesemua restoran Lemang To'Ki sangat menyamankan kerana Mazlan menggunakan pelbagai jenis tumbuhan untuk menyejukkan kawasan dan pandangan pengunjung.